KUANTAN, 27 Ogos - Lebih seribu orang Pegawai Banci Penduduk 2010 di negeri ini bakal berputih mata dan kemungkinan besar tidak dapat "duit raya" seperti yang dijanjikan.
Ini berikutan elaun banci mereka bermula dari 6 Julai hingga 22 Ogos baru-baru ini masih "tergantung" dan tiada tanda-tanda untuk dibayar sebelum Aidil Fitri ini. Maklumat ini sungguh mengejutkan sebenarnya. Pegawai banci yang hanya bekerja secara sambilan dalam tempoh tertentu itu sepatutnya tidak dilayan sedemikian rupa.
Kini ramai yang sangsi untuk menyambung tugas mereka, kerana segala hasil titik peluh mereka seolah-olah tidak dihargai. Kami cuba memantau perkara ini untuk mencari punca sebenar kenapa ini berlaku. Menurut seorang pembanci, mereka kini umpama "peminta sedekah" untuk menagih simpati agar dibayar elaun gaji tersebut. "Apalah gunanya penat lelah, jika kami diperlakukan sedemikian rupa.
Memang bayarannya tidak tinggi, setiap orang hanya mendapat elaun sekitar RM1,000 lebih sahaja untuk tempoh tersebut. Tetapi kami amat memerlukan wang itu untuk perbelanjaan menjelang perayaan nanti", kata seorang pembanci yang tidak mahu namanya disiarkan. Menurut beliau, dia sudah penat berkejar ke Pejabat Daerah Dan Tanah Kuantan untuk bertanyakan tentang elaun tersebut. "Di pejabat daerah dan tanah, kami diarahkan ke pejabat SUK Pahang. Di situ kami diberitahu bahawa elaun masih belum diproses dan mereka mahu kamu bertanya terus kepada Setiausaha Kerajaan Negeri", kata seorang pembanci lain. "Apa maknanya semua ini.
Kami bukannya hamba abdi yang perlu dilayan begitu rupa. Tambahan pula di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kami mahu menuntut hak kami, itu saja!", katanya. Apa yang berlaku ini amatlah malang sekali. tambahan pula kami difahamkan peruntukan oleh kerajaan pusat berjumlah hampir RM15 juta bagi tujuan tersebut telah diterima oleh kerajaan negeri. Soalnya. mana pergi kesemua wang tersebut dan kenapa ditahan elaun para pembanci itu?.
http://pahangdaily.blogspot.com/
To get listed in Malaysian Bloggers Directory
5 years ago